8 Mei 2005
Cuaca makin panas. Lapisan ozon semakin nipis dan dunia makin tua. Di Rawang pun dah ada puting beliung dan ribut. Kacau!
Aku masih berjalan di tengah-tengah kota. Aku singgah di Lorong Haji Taib. Lepak di gerai makan untuk membasahkan tekak yang haus.
Sudah lama betul tak ke Chow Kit. Ramai orang berbangsa Indonesia di sini. Tanpa mereka susah kita. Bangunan-bangunan tinggi pencakar langit di sekeliling aku kebanyakannya hasil keringat mereka. Mahu harapkan orang kita? Mereka masih dalam kategori pemalas dan suka berangan. Mungkin sebab kurang tekanan hidup.
Aku punya hormat yang tinggi terhadap bangsa Indonesia dan konsep pancasilanya. Di sana yang lepak tepi jalan, yang menganggur atau yang gelendangan kebanyakannya punya hobi yang telah menjadi rutin hidup iaitu amalan suka membaca. Bahan-bahan berbentuk sastera bukannya yang bentuk hiburan yang remeh dan fantasi seperti filem Hindustan. Di sana penulis mampu hidup senang dan kedai buku boleh hidup. Sastera dan kesenian megah berdiri sebagai salah satu lambang kemegahan negara mereka. Sekiranya berhasrat untuk menemuduga penyair Rendra untuk satu jam kena bayar USD 2000. Mungkin sebab penduduknya ramai. Namun itu bukan alasan. Bagaimana pula di sini?
Pemuda-pemudi kita kebanyakannya masih tidak tahu apa-apa pasal hidup. Apa yang penting bagi mereka ialah membelek majalah dan bagaimana untuk menjadi glamour. Apa trend terkini, apakah skandal yang menarik, artis mana yang hendak kahwin, artis mana pulak yang bercerai - itulah suasana dan bahan-bahan yang penting dalam dunia muzik kita. Itulah sebab filem-filem seperti Sembilu dapat sambutan sehingga kutipan box-office. Kebanyakan orang kita pula sensitif, tak boleh cakap sebegini. Selalunya mereka akan memberitahu, "pergi Indon ler,cari makan, apasal duduk Malaysia?".
Sewaktu aku sedang minum, ada seorang kakak tua senyum ke arahku. Dia datang melepak dan mahu duduk semeja.
"Apa khabar?" tanpa disapa pelawa dan menyapa dia.
"Baik...hari ni kurang sikit masuk, badan pun dah tak laku, adik tak nak langgan akak ker?"
"Emmm...he he...hari ni saya tak ada duit...saya pun macam akak jugak...masing-masing kita punya cerita, mungkin kita boleh kongsi kalau bukan tubuh pun. Pengalaman mungkin. Akak ada keluarga?"
Mengeluh dia.
"Keluarga? Keluarga dah buang akak. Suami dah lama tinggalkan akak. Memang elok pun dia blah. Sebab dialah akak jadi macam ni," beritahunya.
Aku tidah boleh cakap apa-apa. Hanya memerhatikan muka wanita itu. Kesian.
"Saya pun lebih kurang akak juga, cuma saya ni keturunan orang alim. Tapi bila kaji-kaji balik rasanya saya ni keturunan babi hutan. Mungkin babi tu lebih mulia dari keturunan saya dan saya ni pun asalnya dari spesis babilah."
Terkejut dia dengar kata-kata aku. Sekurang-kurangnya dia tidak merasa asing. Aku anggap aku dan dia masih dalam acuan yang sama. Pelengkap isi cerita dunia yang memang begini sejak zaman Habil dan Qabil lagi. Buruk dan baik itu pelengkap cerita. Aku ni busking di tepi jalan sahaja.
Memang ada jalan lain yang lebih baik sebenarnya. Namun, untuk proses praktikal, ini perlu. Kadang-kadang orang tengok macam sampah tapi aku buat persembahan untuk pelbagai jenis majlis.
Tetapi akak ni dah pilih jalan hidup dia dan dia sudah tidak boleh ke belakang balik. Dia sudah menerima takdir dia sebenarnya. Apa yang kita boleh buat? Cuma katanya, kalau ada kesempatan sebelum dia tutup mata, dia mahu jumpa anak dia yang diberi pada satu keluarga asing suatu masa dulu. Pada waktu itu, umur anakya satu hari. Sebenarnya dia jual anaknya atas masalah hidup. Suaminya pula penagih dadah. Mereka tinggal di sebuah bilik kecil di kawasan Chow Kit dengan kadar sewa RM 150 sebulan. Bilik tersebut hanya sebesar bilik air. Haru sebenarnya kisah dia ni.
Apa yang aku boleh buat? Dia dan aku sedang menjalani takdir yang hanya kami yang tahu apa itu hidup dan sengsara. Masyarakat tidak akan ambil peduli. Mungkin ada yang akan tanya kenapa tak nak berubah dan berusaha. Soalan itu bagi aku hanya melepaskan batuk di tangga dan tidak lebih daripada menghina, bukan memahami. Mungkin ada yang prihatin akan nasib golongan ini.
Petikan dari Meor, Sembang Tepi Jalan